January 15, 2025
DSC03587

Sejak penubuhannya pada tahun 1993, Pusat Pembelajaran Gunaan dan Multimedia (CALM) telah memainkan peranan penting sebagai entiti dalam menyediakan pelbagai perkhidmatan dan program untuk meningkatkan kualiti pengalaman pengajaran dan pembelajaran konvensional serta dalam talian bagi staf dan pelajar.

Namun perubahan pesat dalam teknologi dan keperluan seiring dengan pasaran global pada hari ini, memerlukan institusi pengajian tinggi  untuk menawarkan pendidikan tinggi yang lebih inovatif dan fleksibel.

Sehubungan dengan itu, UNIMAS, sebagai sebuah Institusi Pengajian Tinggi (IPT) ulung di rantau ini, tidak terkecuali untuk mengadaptasi tuntutan kemajuan teknologi dan transformasi digital  agar terus kekal relevan dan menjadi pemain serta penggerak utama dalam penyediaan produk pendidikan dan platform pengajaran dan pembelajaran berkualiti, serta kurikulum yang menekankan pemikiran kritis, kreatif dan berinovasi.

Di samping itu, sebagai langkah strategik yang selaras dengan keperluan dan cabaran semasa, pada tahun 2024, UNIMAS telah menubuhkan Pusat Pembelajaran Fleksibel (CFlex), sebagai pusat yang memfokuskan kepada penawaran produk pendidikan tinggi secara fleksibel dan kontemporari.

CFlex akan memimpin usaha universiti untuk penawaran program dan kursus berbentuk anjal, yang mengoptimumkan penggunaan teknologi seperti Open and Distance Learning (ODL), Microcredentials, Massive Open Online Courses (MOOC), eLEAP dan sebagainya.

Sejajar dengan aspirasi  tersebut, Universiti telah memutuskan untuk membubarkan CALM berkuat kuasa 31 Disember 2024. Pembubaran ini akan memberi ruang kepada universiti untuk meneroka suatu strategi baharu yang mampu memperkasakan posisi UNIMAS sebagai institusi yang menawarkan pendidikan tinggi yang inovatif dan berpandangan jauh.

Oleh itu, bermula dari 1 Januari 2025, fungsi-fungsi di bawah seliaan CALM sebelum ini, akan diserap ke PTj-PTj berikut :

  1. CFlex akan merancang dan menguruskan semua fungsi-fungsi pengajaran dan pembelajaran fleksibel dan kontemporari;
  2. Bahagian Pengajian Prasiswazah (BPPs) akan menguruskan aspek sokongan pengajaran dan pembelajaran (pengurusan ruang dan jadual kuliah);
  3. Pusat Kepimpinan Universiti (ULC) akan mengambil alih aspek Latihan Akademik; dan
  4. Fakulti Pendidikan, Bahasa dan Komunikasi (FPBK) akan menguruskan penawaran dan pelaksanaan PgDip HETL.

NextGen Research and Academic Innovation (NEXTRA) juga telah ditubuhkan untuk menjadi entiti yang menerajui penyelidikan berkaitan pendidikan tinggi. NEXTRA akan dianggotai oleh felo-felo dalam kalangan ahli-ahli akademik UNIMAS yang berminat untuk membantu memartabatkan penyelidikan berasaskan transformasi digital, seiring dengan perkembangan ilmu dalam bidang masing-masing.

Hasil penyelidikan NEXTRA dilihat mampu membantu UNIMAS untuk merangka perancangan strategik yang lebih berstruktur dan berteraskan kepada data (data-driven). Hala tuju inisiatif Scholarship of Teaching and Learning (SOTL) akan turut diperkemaskan untuk memastikan aspirasi UNIMAS dalam penyediaan program dan pengalaman pendidikan yang berdaya saing, tercapai. 

Universiti yakin bahawa dengan penubuhan CFlex dan pengstrukturan semula urusan pengajaran dan pembelajaran ini, akan memperkasakan lagi kualiti pengajaran dan pembelajaran UNIMAS.

Dengan langkah-langkah ini, UNIMAS akan terus melonjakkan reputasi dan kapasiti kesarjanaannya untuk melahirkan graduan yang lestari serta bersedia menghadapi cabaran dunia pekerjaan yang semakin kompleks dan dinamik. Ini juga sejajar dengan visi dan misi universiti untuk terus menghasilkan pengetahuan, memenuhi aspirasi pemegang taruh dan masyarakat untuk menyumbang kepada pembangunan negara.