December 28, 2024

Projek STEM Kitz2Create dibawah Program Pendayaan Komuniti Universiti Awam (Komuniti @ UniMADANI) Fasa 2 daripada Kementerian Kewangan Malaysia yang diketuai oleh Dr Nur Tahirah Razali bersama-sama ahli projek iaitu Dr Annisa Jamali, Dr Abang Mohamad Nizam Abang Kamaruddin dan Prof Madya Dr Rohana Sapawi daripada Fakulti Kejuruteraan dengan kerjasama pihak Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak dan Pejabat Pendidikan Daerah Samarahan telah berjaya dilaksanakan dengan jayanya.

Projek ini telah memberi manfaat kepada 15 orang guru Sains dan Reka Bentuk dan Teknologi (RBT) dan 46 para pelajar tahun 4 dan tahun 5 dari 7 buah sekolah rendah sekitar Kora Samarahan iaitu SK Dato Mohd Musa, SK Dato Traoh, SK Meranek, SK Endap, SK Plaie, SK Sungai Apong dan SK Asajaya Laut.

Projek STEM Kitz2Create ini bertujuan memberikan pendedahan dan akses terhadap aktiviti serta bahan pembelajaran STEM, dan menerapkan pemikiran kritis dan kreatif kepada para pelajar sekolah rendah. Sebanyak 3 siri bengkel telah diadakan pada 16 & 17 Oktober, 23 & 24 Oktober dan 13 & 14 November 2024 melibatkan Modul Robotik, Modul Elektrik dan Modul 3D Modelling yang menyokong kepada aktiviti pengajaran dan pembelajaran subjek Sains dan RBT.

Satu majlis penyerahan kit STEM kepada 7 buah sekolah tersebut dijangka diadakan sekitar bulan Disember 2024. Penghargaan juga kepada pengurusan Fakulti Kejuruteraan, Pusat Kelestarian Universiti serta fasilitator atas sokongan berterusan yang diberikan.

Ahli projek dan aktiviti projek STEM
Gambar-gambar sewaktu bengkel bersama peserta

Laporan disediakan oleh Dr Nur Tahirah Razali, Fakulti Kejuruteraan, UNIMAS