Projek STEM Kitz2Create dibawah Program Pendayaan Komuniti Universiti Awam (Komuniti @ UniMADANI) Fasa 2 daripada Kementerian Kewangan Malaysia yang diketuai oleh Dr Nur Tahirah Razali bersama-sama ahli projek iaitu Dr Annisa Jamali, Dr Abang Mohamad Nizam Abang Kamaruddin dan Prof Madya Dr Rohana Sapawi daripada Fakulti Kejuruteraan dengan kerjasama pihak Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak dan Pejabat Pendidikan Daerah Samarahan telah berjaya dilaksanakan dengan jayanya.
Projek ini telah memberi manfaat kepada 15 orang guru Sains dan Reka Bentuk dan Teknologi (RBT) dan 46 para pelajar tahun 4 dan tahun 5 dari 7 buah sekolah rendah sekitar Kota Samarahan iaitu SK Dato Mohd Musa, SK Dato Traoh, SK Meranek, SK Endap, SK Plaie, SK Tanjong Apong dan SK Asajaya Laut.
Projek STEM Kitz2Create ini bertujuan memberikan pendedahan dan akses terhadap aktiviti serta bahan pembelajaran STEM, dan menerapkan pemikiran kritis dan kreatif kepada para pelajar sekolah rendah. Sebanyak 3 siri bengkel telah diadakan pada 16 & 17 Oktober, 23 & 24 Oktober dan 13 & 14 November 2024 melibatkan Modul Robotik, Modul Elektrik dan Modul 3D Modeling yang menyokong kepada aktiviti pengajaran dan pembelajaran subjek Sains dan RBT.
Satu majlis penyerahan kit STEM Kitz2Create kepada 7 buah sekolah sekitar Kota Samarahan telah berlangsung pada 11 Disember 2024 bertempat di Fakulti Kejuruteraan. Majlis ini telah dihadiri oleh Prof. Madya Ir Norazzlina M.Sa’don (Dekan Fakulti Kejuruteraan), En. Solomon Kudik (Ketua Penolong Pengarah Kanan, Sektor Pembelajaran, Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak), Dr Rusdy bin Wahid (Timbalan Sektor Perancangan, Pejabat Pendidikan Daerah Samarahan), Dr Mohd Farid Atan (Timbalan Pengarah Pusat Kelestarian Universiti) dan 15 orang pentadbir dan guru dari 7 buah sekolah yang terpilih.
Penghargaan juga kepada pengurusan Fakulti Kejuruteraan, Pusat Kelestarian Universiti serta fasilitator atas sokongan berterusan yang diberikan.