Pada 20 November 2024, rombongan dari SK Holy Name telah mengadakan program lawatan sambil belajar ke Jabatan Kejuruteraan Kimia dan Tenaga Sustainabiliti, Fakulti Kejuruteraan, Universiti Malaysia Sarawak. Lawatan ini melibatkan 68 murid dari Tahun 1 hingga Tahun 6 serta 12 guru pengiring yang diketuai oleh Guru Besar, Cikgu Albert anak Bujon. Program ini juga berjaya direalisasikan dengan kerjasama Fakulti Kejuruteraan UNIMAS melalui YellowHippo STEM Squad yang diketuai oleh Dr Nazeri Abdul Rahman. Program ini turut diserikan dengan kehadiran pihak pengurusan tertinggi Fakulti Kejuruteraan UNIMAS, antaranya Dekan Fakulti Kejuruteraan, Associate Professor Ir. Dr. Norazzlina bt M. Sa’don, Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar, Associate Professor Ir. Ts. Dr. Kismet anak Hong Ping, Ketua Jabatan Kejuruteraan Kimia dan Sustainabiliti Tenaga, Ir. Dr. Mohamad Asrul bin Mustapha, serta Penyelaras Program Sarjana Muda (Kepujian) Kejuruteraan Kimia, Puan Nur Syuhada binti Ahmad Zauzi.
Selain bertujuan menyemai minat dan mendedahkan kepentingan pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik (STEM) kepada masyarakat luar bandar, program ini juga secara tidak langsung mempromosikan UNIMAS dalam kalangan murid-murid sebagai perangsang untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi. Pelbagai aktiviti eksperimen yang menarik telah dianjurkan oleh pelajar Tahun 2 Jabatan Kejuruteraan Kimia dan Sustainabiliti Tenaga antaranya termasuk “Penerokaan Sains melalui Eksperimen” yang merangkumi tiga stesen utama seperti stesen Rawatan Air Paya Menggunakan Sistem Elektrokogulasi, Stesen Aktiviti Titrasi Asid dan Alkali, dan Stesen Memahami Prinsip Bernoulli dan Proses Pencampuran. Aktiviti-aktiviti ini telah berjaya menarik minat murid-murid serta membantu mereka memahami konsep sains dengan lebih mudah dan menyeronokkan.
Rombongan SK Holy Name turut berpeluang melawat Perpustakaan Tun Abdul Rahman Ya’kub (PeTARY). Lawatan ini bertujuan mendedahkan murid kepada pelbagai sumber ilmu serta kemudahan pembelajaran yang terdapat di perpustakaan tersebut. Melalui lawatan ini, murid dapat merasai suasana pembelajaran di institusi pendidikan tinggi dan diharapkan dapat memberi inspirasi kepada mereka untuk mencapai cita-cita akademik yang lebih cemerlang.