October 8, 2024

Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat (FSKTM), UNIMAS dengan bangganya telah berjaya merangkul Anugerah Khas YB Menteri Pengajian Tinggi (AKRI) 2024 dalam kategori Pengalaman Pembelajaran Imersif Teradun (Blended).

Staf akademik daripada FSKTM iaitu Ts Dr Chiu Po Chan (Ketua Kumpulan), Nurul Zawiyah Mohamad dan Dr Liew Siaw Hong telah berjaya merangkul Naib Johan dalam kategori Pengalaman Pembelajaran Imersif Teradun yang bertajuk “Next-Gen Learning: Integrating Escape Room, Social Media, and Online Forums for Immersive Database Mastery” di Anugerah Khas YB Menteri Pendidikan Tinggi Rekabentuk Kurikulum dan Penyampaian Inovatif pada 1 Oktober 2024 di Dewan Agung Tuanku Canselor UiTM Shah Alam.

Acara ini adalah bersempena Perasmian Bulan Akademia Peringkat Kebangsaan Tahun 2024 yang disempurnakan oleh YB Dato’ Seri Diraja Dr Zambry Abd Kadir, Menteri Pendidikan Tinggi.

Turut hadir bersama adalah Ybhg Prof Dr Ahmad Hata Rasit selaku Naib Canselor UNIMAS, Prof Dr Fitri Suraya Mohamad Hapni Joblie, Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa UNIMAS serta Dr Nur Tahirah, Pengarah Pusat Pembangunan dan Pengurusan Akademik, UNIMAS.

Kemenangan ini adalah hasil daripada usaha keras dan dedikasi pasukan akademik yang sentiasa berfokus kepada penyediaan pengalaman pembelajaran berkualiti tinggi kepada pelajar. Ini juga merupakan kali pertama UNIMAS memenangi anugerah di AKRI sejak tahun 2017.

Pendekatan yang digunakan dalam kategori ini menggabungkan elemen interaktif, penggunaan teknologi digital, dan pembelajaran bersemuka, mewujudkan suasana pembelajaran yang lebih fleksibel dan berkesan.

Pelajar mendapat manfaat melalui pengalaman pembelajaran yang dinamik dan disesuaikan dengan keperluan masa kini, di samping bimbingan pensyarah secara berterusan.

Pencapaian ini memperkukuh kedudukan FSKTM sebagai peneraju dalam bidang pendidikan sains komputer dan teknologi maklumat, serta membuktikan kemampuan untuk terus relevan dalam menyampaikan pendidikan berkualiti di era digital.

Anugerah ini juga mencerminkan impak positif yang diperoleh daripada inovasi dalam pengajaran, di mana pelajar kini lebih bersedia menghadapi cabaran dalam industri teknologi yang sentiasa berkembang.

Diharapkan kejayaan ini akan terus memberi inspirasi kepada warga fakulti untuk melaksanakan lebih banyak pembaharuan dalam kaedah pengajaran, selain memacu fakulti ke arah kecemerlangan yang lebih tinggi.

:: FCSIT is one of the Premier Digital Tech Institutions endorsed by Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) ::

#mypdti

Sustainable Development Goal: Quality education (SGD 4)