December 25, 2024

Alam sekitar perlu dilindungi kerana ia adalah sumber kehidupan yang penting bagi semua makhluk di bumi ini. Oleh itu, perlindungan alam sekitar perlu dimulakan di peringkat bangku sekolah lagi supaya kesedaran awal tentang kepentingan menjaga bumi ini dapat ditanam. Pada 24 Mei 2023, seramai 10 pelajar dari Program Kimia, Fakulti Sains dan Teknologi Sumber telah mengadakan dua program kesedaran terhadap pencemaran alam di SMK Hajjah Laila Taib, Samarahan, Sarawak. Program-program tersebut ialah Zero Waste! dan Innovation Towards Sustainability. Sebanyak 60 pelajar dari Kelab Pencinta Alam Sekitar dan Kelab Seni Visual telah menyertai program-program ini yang berlangsung selama 1 jam 30 minit semasa sesi kokurikulum sekolah.

Ceramah Zero Waste mengenai kepentingan menjaga alam sekitar dimulakan dengan tujuan untuk mendedahkan para pelajar kepada isu-isu pencemaran yang melanda Malaysia kebelakangan ini. Aktiviti ceramah ini telah memberi kesedaran yang mendalam dalam Seterusnya, para pelajar daripada Kelab Seni Visual berpeluang menyertai Pertunjukkan Fesyen, di mana mereka dapat menonjolkan kreativiti dan inovasi dalam mencipta pakaian berasaskan bahan terpakai atau bahan buangan. Aktiviti ini mencetuskan rasa kreativiti dalam diri pelajar dan mendorong mereka untuk menjadi lebih inovatif dalam menghasilkan sesuatu daripada sisa bahan buangan.

Ceramah kepentingan menjaga alam sekitar daripada pelajar UNIMAS.
Pemenang pertandingan Pertunjukkan Fesyen.

Manakala, program Innovation Towards Sustainability berteraskan konsep inovasi daripada bahan buangan. Program ini memberi peluang kepada pelajar Kelab Pendidikan Alam Sekitar untuk memahami konsep pengurusan sisa buangan dengan betul supaya mereka dapat mengaplikasikan dalam kehidupan seharian. Selain itu, mereka juga berpeluang untuk mencipta idea inovasi baharu daripadai bahan buangan secara fizikal.

Para pelajar menyiapkan tugasan-tugasan reka cipta dari bahan buangan.

Selain itu, program-program yang dilaksanakan oleh para pelajar Program Kimia di SMK Hajjah Laila Taib berasaskan kepada kaedah pengajaran dan pembelajaran (P&P) yang menggambungkan hasil pembelajaran kursus dengan khidmat komuniti  atau lebih dikenali sebagai SULAM (Service Learning Malaysia-University for Society). Selepas menjalankan program-program di sekolah, mereka akan merenung mengenai aktiviti perkhidmatan dan pengalaman mereka serta mengaitkannya dengan hasil pembelajaran yang diinginkan. Melalui cara ini, mereka akan memperoleh pemahaman yang lebih mendalam tentang kandungan kursus yang diikuti, penghargaan yang lebih luas terhadap disiplin, serta meningkatkan nilai peribadi dan tanggungjawab sivik.

Sesi bergambar bersama guru sekolah SMK Hajjah Laila Taib, pelajar UNIMAS dan pelajar SMK Hajjah Laila Taib dari kelab  pencinta alam sekitar dan Kelab Seni Visual.

Disediakan oleh Dr. Nor Hisam Zamakshshari