September 11, 2024

Sebanyak 20 peserta dari Badan Budaya Universiti Malaysia Sarawak (BAYU) telah memukau pengunjung dengan persembahan tarian etnik di Bali World Culture Celebration, yang merupakan sebahagian daripada Bali Arts Festival 2024. Festival ini berlangsung di Taman Werdhi Budaya Art Centre, Bali, dari 9 hingga 15 Julai.

Kumpulan BAYU membawakan tarian dari pelbagai etnik Sarawak, termasuk Iban, Melanau, Bidayuh, Orang Ulu, dan Melayu Sarawak, menunjukkan kepelbagaian dan kekayaan budaya negeri tersebut. Tujuan utama penyertaan ini adalah untuk mempromosikan Sarawak sebagai destinasi pelancongan yang kaya dengan seni dan budaya, serta meningkatkan pengiktirafan BAYU UNIMAS, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), dan negeri Sarawak secara global.

Festival ini juga menjadi platform bagi BAYU untuk membina hubungan dan jaringan dengan penggiat seni dan budaya dari seluruh dunia, termasuk peserta dari China, Kanada, Amerika Syarikat, Jepun, India, Taiwan, Ukraine, Malaysia, dan Hong Kong. Ini membuka peluang kerjasama masa depan, pertukaran seni, dan projek bersama yang dapat menyumbang kepada perkembangan seni dan budaya.

Kos penyertaan BAYU untuk festival ini dibiayai sepenuhnya oleh Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, sebagai sebahagian daripada usaha kerajaan negeri untuk mengukuhkan kedudukan di pentas antarabangsa dalam bidang seni dan budaya.

Hampir 100 kumpulan seni budaya dari seluruh Indonesia serta 10 penyertaan dari luar negara turut serta, menjadikan festival ini medan pertemuan budaya yang kaya dan dinamik.

Turut hadir menyaksikan persembahan kumpulan BAYU semasa festival tersebut ialah Yang Berhormat Dato Sri Haji Abdul Karim Rahman Hamzah, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Yang Berhormat Datuk Snowdan Lawan, Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Yang Berbahagia Datu Sherrina binti Hussaini, Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak dan beberapa orang lagi delegasi daripada Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak.

BAYU ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang telah menyokong kejayaan kami dalam penyertaan di Bali World Cultural Celebration (BWCC), Bali Arts Festival 2024. Kejayaan ini tidak akan tercapai tanpa kerjasama dan sokongan padu daripada semua.

BAYU juga berharap kejayaan ini bukan sahaja meningkatkan pengiktirafan BAYU dan UNIMAS, tetapi juga mempromosikan kekayaan budaya Sarawak kepada dunia. Terima kasih sekali lagi kepada semua yang terlibat. Bersama-sama kita akan terus berusaha untuk membawa seni dan budaya kita ke tahap yang lebih tinggi.

Artikel disediakan oleh Thomas Lamada, Badan Budaya Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS)