September 10, 2024

Bau, 6 Julai 2024 – Program Doktor Muda Dalam Komuniti (DMDK) UNIMAS yang julung kali diadakan di Daerah Bau telah disempurnakan oleh Pegawai Daerah Bau, Encik Constantine Gerald Davis anak Jonas di Dewan Masyarakat Kampung Tasik Biru, Bau.  

Semasa pelancaran program ini, Pegawai Daerah Bau mengalu-alukan kehadiran 147 orang pelajar perubatan Tahun 1, pakar-pakar kesihatan dari Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, UNIMAS dan 31 buah keluarga dari Kampung Tasik Biru dan Kampung Batu Spit. Beliau yakin dengan adanya program-program seumpama ini dapat meningkatkan tahap kesihatan penduduk di Daerah Bau seterusnya membantu Bau menjadi hub education-tourism yang utama dalam dan luar negara. 

Encik Constantine juga menyambut baik cadangan daripada pihak Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan UNIMAS untuk mengadakan Memorandum of Understanding (MoU) dengan Pejabat Daerah Bau bagi merealisasikan kerjasama yang lebih terarah dan berpanjangan di Daerah Bau. MoU ini penting kerana komuniti di Daerah Bau berhadapan dengan cabaran kesihatan seperti peningkatan kes rabies, penagihan dadah dan masalah obesiti.  

Justeru itu, Encik Constantine menyeru agar Doktor Muda Dalam Komuniti UNIMAS ini dapat memainkan peranan mereka melalui aktiviti-aktiviti service-learning. Misalnya produksi video pendek bertajuk “STOP RABIES” oleh Doktor Muda pada hari ini boleh dikongsi melalui pelbagai aplikasi seperti WhatsApp bersama ahli keluarga DMDK dan komuniti setempat.    

Manakala Koordinator Program DMDK UNIMAS, Dr Rosalia Saimon berkata, program DMDK adalah pendekatan pembelajaran dalam Kursus Kesihatan Keluarga. Dalam kursus ini, pelajar perubatan pra-klinikal akan bekerjasama dengan keluarga yang terpilih untuk mengenalpasti masalah kesihatan keluarga,  faktor-faktor penyebabnya dan mengelola projek service-learning berdasarkan permasalahan kesihatan setempat. Pelajar perubatan dalam program DMDK diwajibkan untuk mengadakan sekurang-kurangnya empat lawatan ke rumah keluarga yang terpilih dengan diselia oleh pensyarah pelbagai kepakaran.   

Semasa hari pelancaran, DMDK telah mengelola pelbagai aktiviti kesihatan seperti pendidikan rabies, pemeriksaan mata, fungsi fizikal dan saringan kognitif warga emas, pencegahan kemalangan, gigitan binatang berbisa, dan pemeriksaan penyakit.  

Penduduk kampung tidak melepaskan peluang menjalani pemeriksaan kesihatan percuma seawal jam 8.30 pagi. “Program ini perlu diadakan dengan lebih kerap di sini kerana kami tiada kesempatan untuk menjalani pemeriksaan kesihatan,” kata salah seorang penduduk dari Kampung Tasik Biru. Hadirin juga turut dihiburkan oleh persembahan kebudayaan oleh pelajar DMDK UNIMAS dan penduduk Kampung Tasik Biru. 

Program DMDK ini adalah anjuran Jabatan Perubatan Komuniti dan Kesihatan Awam, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, UNIMAS dengan kerjasama penduduk Kampung Tasik Biru dan Kampung Batu Spit.  

Turut hadir dalam Majlis Pelancaran ialah Prof. Madya Dr Rekaya Vincent Balang, Timbalan Dekan, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Profesor Dr. Razitasham Safii, Koordinator Klinikal Kesihatan Keluarga,  Dr Rosalia Saimon, Koordinator Kursus Kesihatan Keluarga, Pn Faridah Mohamed, Pegawai Pembangunan Masyarakat, UNIMAS, Encik Joryim ak Ngayop, Penghulu Zon Krokong dan Tringgus, Puan Christina ak Opoum, Penghulu Zon Pekan Bau,  Encik Ajit ak Francis, Ketua Kaum Kampung Tasik Biru, dan Encik Korin anak Ajib, Ketua Kaum Kampung Batu Spit. Terima kasih juga kepada pihak Ibu Pejabat Polis Daerah Bau di atas kerjasama yang telah dihulurkan.