December 23, 2024
Program Jom Sahur & Subuh Bersama Naib Canselor

Program Jom Sahur & Subuh Bersama Naib Canselor

Pusat Islam Tun Abang Salahuddin (PITAS) buat julung kalinya telah menganjurkan Program Jom Sahur dan Subuh Bersama Naib Canselor sebagai sebahagian daripada Program Ihya Ramadan PITAS 1445H. Program ini telah diadakan dengan jayanya pada 22 Mac 2024 bersamaan 11 Ramadan 1445 yang lalu. Ketibaan Naib Canselor, Yang Berbahagia Prof. Dr. Hj. Ahmad Hata Rasit seawal jam 4.00 pagi telah disambut oleh Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Prof Ir Ts Dr. al-Khalid Othman, Pengarah PITAS, Prof. Dr. Abdul Halim Busari, Pengurusan Utama Universiti, Dekan-dekan dan Pengarah serta Majlis Perwakilan Pelajar.

Program Jom Sahur & Subuh Bersama Naib Canselor

Program yang bermula seawal jam 4.00 pagi dengan Qiyamullail telah dipimpin oleh Saudara Aiman iaitu pelajar daripada Kelab Dewan Amal Islami (DAMAI). Seterusnya Program Jom Sahur ini diserikan lagi dengan simbolik agihan pek makanan terutama kepada para pelajar yang diagihkan sendiri oleh Naib Canselor, TNC HEPA dan Pengarah PITAS.

Selepas bersahur, Naib Canselor berkesempatan beramah mesra bersama para pelajar yang menyertai program ini serta menyantuni para pelajar dengan sesi bergambar secara beramai-ramai. Selepas itu, acara diteruskan lagi dengan solat Subuh berjemaah di dewan solat PITAS yang telah diimamkan oleh Prof. Dr. Abdul Halim iaitu pengarah Pusat Islam Tun Abang Salahuddin (PITAS).

Program Jom Sahur & Subuh Bersama Naib Canselor

Biarpun baharu pertama kali dilaksanakan, seramai lebih 500 orang pelajar telah hadir dalam menjayakan dan memeriahkan program ini. Malahan, program ini turut dimeriahkan lagi dengan kehadiran pelajar non-Muslim yang telah menunjukkan semangat kebersamaan dan saling memahami serta menghormati agama masing-masing. Sepertimana yang kita sedia maklum, Universiti Malaysia, Sarawak (UNIMAS) telah mengamalkan konsep ‘inklusif’ sebagai salah satu cara untuk mencapai matlamat organisasi universiti. Dalam konteks ini, ‘Inklusif’ itu sendiri membawa maksud ‘merangkumi’. Jadi, melalui program ini, dapat kita hubungkaitkan dengan konteks ‘inklusif’ iaitu dengan menjemput sekali para pelajar non-muslim untuk menghadiri program iftar tanpa mengabaikan kehadiran mereka. Dalam masa yang sama, ia dapat mengekalkan tradisi kebersamaan dan keharmonian dalam masyarakat yang berbilang kaum.

Program Jom Sahur & Subuh Bersama Naib Canselor

Diharapkan semoga program seumpama ini dapat diteruskan lagi pada masa yang akan datang agar menjadi wadah untuk memperkukuhkan ikatan ukhuwah dalam kalangan para pelajar dengan pihak staf dan seluruh warga UNIMAS yang lain. Semoga ibadah seperti puasa dan Qiamullail yang dilaksanakan ini dapat menjadi amalan yang kita amalkan secara istiqamah pada hari-hari biasa kerana seperti yang kita ketahui ia dapat menyucikan jiwa dan menguatkan rohani bagi individu muslim yang melaksanakannya.

Disediakan oleh: Prof. Dr. Abd Halim bin Busari, Pengarah Pusat Islam Tun Abang Salahuddin (PITAS), UNIMAS.

Foto : Azlandy Bin Mohammid Ali Tuah, UNIMAS Corporate.