December 21, 2024

Kota Samarahan, 17 Januari 2024 : Fakulti Kejuruteraan bersama Fakulti Alam Bina di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) akan menganjurkan International Science, Technology and Engineering Expo (i-STEEX) 2024 dengan kerjasama Institution of Engineers Malaysia (IEM) Cawangan Sarawak. Program berprestij ini
dijadualkan berlangsung pada 17 Januari 2024 di Dewan Mutiara, Detar Putra, UNIMAS di Kota Samarahan. Ia merupakan sebahagian program di bawah International Engineering Conference (EnCon) 2024 yang akan berlangsung pada 14 – 16 Februari 2024 di Hotel Waterfront, Kuching.


iSTEEX merupakan pertandingan inovasi STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik)
yang bertujuan untuk memupuk minat dan bakat pelajar sekolah rendah dan sekolah menengah.
Peserta pertandingan akan mempamerkan hasil kerja mereka melalui pembentangan poster dan
projek inovasi dalam pelbagai disiplin STEM. Upacara perasmian disempurnakan oleh YBhg Puan Anielia anak Siam, Timbalan Setiusaha Tetap, Kementerian Pendidikan, Inovasi, dan Pembangunan Bakat (MEITD) Sarawak. Ucapan aluan pula disampaikan oleh Prof Ir Dr Siti Noor Linda bt Taib, Timbalan Naib Cancelor (Penyelidikan dan Inovasi) UNIMAS. MEITD Sarawak memainkan peranan penting dalam pendidikan STEM dengan memajukan inovasi, pembangunan bakat, dan pendidikan di bidang sains dan teknologi.


Pertandingan ini telah menerima penyertaan daripada 22 pasukan, mewakili sekolah-sekolah dari seluruh Sarawak. Program ini memberi peluang dan pendedahan kepada pelajar untuk bertukar idea bersama pelajar dari sekolah-sekolah lain dan menerima maklum balas daripada profesional berpengalaman dalam bidang tersebut. Setiap pasukan akan membentangkan projek dan hasil inovasi mereka dan diadili oleh panel penilai yang terdiri daripada pakar dan profesional dari akademia dan industri. Panel penilai akan
menilai projek berdasarkan kreativiti, ketelitian saintifik, dan potensi aplikasi di dunia nyata. iSTEEX berperanan sebagai salah satu platform bagi bakat-bakat muda yang minat dan bercita-cita untuk mengejar kerjaya dalam bidang berkaitan STEM. Dengan mendorong semangat inovasi dan pemikiran kritis, pertandingan ini tidak hanya mengiktiraf pencapaian cemerlang, tetapi juga memberi inspirasi kepada peserta untuk meneroka peluang tanpa batas dalam bidang sains dan teknologi.


Kerjasama antara UNIMAS, MEITD dan IEM Cawangan Sarawak menunjukkan komitmen bersama dalam mempromosikan pendidikan dan inovasi STEM di rantau ini. Usaha bersama ini mencerminkan visi bersama dalam memajukan pendidikan STEM dan memperkasakan generasi akan datang yang berfikiran krititis dan inovatif.