June 19, 2024

29 November 2023, Alor Setar – Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) meraih anugerah Naib Johan bagi Kategori Projek SULAM dan pada masa yang sama menerima Anugerah Khas Projek SULAM semasa Majlis Perasmian Penutupan Joint Conference 2023: 2nd National Conference on SULAM (Service Learning Malaysia)  & 8th Inspirational Scholar Symposium dan SULAM Innovate (Ideation, Innovation and Invention Challenge) 2023 yang berlangsung di Raia Hotel & Convention Centre Alor Setar pada pagi ini. 

“Place Branding for Kampung Meriyu” merupakan sebuah projek SULAM di bawah Fakulti Seni Gunaan dan Kreatif (FSGK) di mana matlamat projek adalah untuk mencipta strategi penjenamaan yang kukuh untuk menarik pelawat dan meningkatkan keterlihatan Kampung Meriyu, Lundu. Antara hasil output daripada projek tersebut adalah Arca Pedada, buah simbolik kampung tersebut, penghasilan logo baharu, penghasilan reka bentuk label bagi produk-produk usahawan kecil, dokumentari dan sebagainya. Projek SULAM tersebut mengambil masa bermula September 2022 sehingga Januari 2023 dan memberi manfaat secara tidak langsung kepada 160 orang penduduk kampung tersebut. Projek tersebut melibatkan lebih daripada 9 orang staf fakulti serta 120 orang pelajar dariapda program Teknologi Seni Reka, Seni Halus dan Sinematografi. 

Projek kolaborasi di antara FSGK dan Kampung Meriyu sebelum ini juga pernah merangkul Best SDG Action Award untuk projek “3 Men from Kampung Meriyu” dan dan tempat kedua bagi kategori Best Film Award untuk projek “Sinergi Meriyu” di dalam Asean Inernational Film Festival & Awards (AIFFA) 2023. 

SULAM merupakan sebuah inisiatif utama Kementerian Pendidikan Tinggi yang menghubungkan peranan Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) dengan komuniti khususnya dalam usaha menyelesaikan isu masyarakat ke arah peningkatan sosio-ekonomi setempat. Manakala SULAM Innovate merupakan sebuah pertandingan untuk menggalakkan dan mengiktiraf pelaksanaan SULAM bersama komuniti dalam kalangan pelajar dan pensyarah IPT dengan penglibatan orang awam, badan bukan kerajaan, industri dan agensi berkaitan secara lebih tersusun.  

UNIMAS telah dipilih sebagai penganjur bersama bagi pertandingan SULAM Innovate. Pertandingan tersebut telah dibuka untuk penyertaan mulai 1 April yang lalu dan kemuncaknya berakhir semasa sesi pitching yang berlangsung pada 28 November 2023.  

Sebanyak 325 penyertaan bagi SULAM Innovate 2023 daripada 45 buah institusi pendidikan dalam Malaysia termasuklah universiti awam, universiti swasta, politeknik dan kolej komuniti. Sebanyak dua buah kategori dipertandingkan iaitu Kategori Projek dan Kategori Projek Konsep. Daripada 325 penyertaan, 10 projek/ projek konsep telah disenaraipendek sebagai Finalis di mana 3 pemenang daripada setiap kategori telah diumumkan sebagai Johan, Naib Johan dan Tempat Ketiga dan satu Anugerah Khas untuk projek terpilih.  

Anugerah-anugerah tersebut telah disampaikan oleh Yang Berbahagia Dato’ Prof. Dr. Norzaini binti Azman, Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi (Akademik dan Penyelidikan), Jabatan Pendidikan Tinggi, Kementerian Pendidikan Tinggi di dalam Majlis Perasmian Penutupan Joint Conference 2023: 2nd National Conference on SULAM & 8th Inspirational Scholar Symposium dan SULAM Innovate 2023. 

image_printPrint Article/Press Release