December 22, 2024
BANNER

Selepas kali terakhir diadakan pada 2019, kejohanan bolasepak berprestij UNIMAS, Piala Pendaftar dianjurkan lagi pada tahun ini dengan penganjurannya dikelolakan sepenuhnya oleh Arena Tun Tuanku Haji Bujang, UNIMAS.

Pada edisi 2019, pertandingan di antara PTj merupakan format yang menjadi pilihan penganjuran. Pada tahun ini, format masih lagi dikekalkan tetapi dengan perubahan kecil di dalam pembahagian PTj.

Selepas mendapat sambutan yang hangat di kalangan pasukan-pasukan PTj UNIMAS pada tahun 2019, penganjuran kejohanan pada tahun seterusnya tidak dapat dilaksanakan disebabkan oleh pandemik COVID-19 yang melanda dunia pada suku pertama 2020.

Kini selepas 4 tahun, laungan Piala Pendaftar kembali bergema dan menjadi topik perbualan di kalangan staf terutamanya staf kaki bola dan staf dahagakan aksi di tengah padang yang sentiasa penuh dengan drama, semangat berpasukan dan kadang-kadang, “lawak jenaka”.

Melihat kembali semangat awal penganjuran Piala Pendaftar yang pertama pada tahun 2002, kejohanan ini dirancang untuk mengumpulkan para staf di atas platform sukan, dalam hal ini -sukan bolasepak.

Mungkin ada yang melihat, merangkul piala dan hadiah wang tunai di samping kegemilangan dan pengiktirafan sebagai pasukan dan pemain terbaik sebagai tujuan utama.

Tetapi sebagai co-founder Kejohanan Piala Pendaftar, saya nyatakan di sini, tujuan utama kejohanan ini diadakan adalah untuk membentuk serta meningkatkan rasa semangat kekitaan di kalangan staf UNIMAS.

Bayangkan dari Pendaftar sehingga ke Pembantu Am Rendah, dari Profesor sehingga pengawal keselamatan, sama-sama “bertaboh” di dalam padang dan bergurau senda di tepi padang (kadang-kadang bertegang urat) dan setiap perlawanan dinantikan dengan penuh semangat oleh staf-staf di setiap PTj, tidak kira staf lelaki mahupun wanita.

Adakah kejohanan Pasca COVID-19 ini akan memberikan impak yang sama? Dengan wajah-wajah staf baharu bergabung dengan staf lama, saya percaya semangat ini akan berterusan dan ini dibuktikan dengan perlawanan pertama kejohanan tahun ini di antara Chancellory Rovers dan Pejabat Pembangunan pada petang tadi.

Wajah-wajah ceria para pemain, pengurusan dan penyokong dapat disaksikan di sepanjang perlawanan. Mungkin wajah-wajah ceria ini terpancar kerana mendapat perlepasan masa berkerja untuk bermain bolasepak dan bertanding di dalam kejohanan. Mungkin kerana dapat berkumpul bersama-sama dengan rakan-rakan sejabatan yang lain.

Walau apa pun faktornya,saya pasti wajah-wajah ceria ini terlukis disebabkan gembira kerana dapat bersua kembali dengan rakan-rakan dari PTj lain bukan di atas platform tugas rasmi tetapi di medium sukan dan mengembalikan nostalgia Piala Pendaftar, tradisi sukan bolasepak dari Kampus Lama UNIMAS.

Kita tunggu dan saksikan, siapakah yang akan merangkul kejuaraan pada tahun ini. Adakah BK Rovers pasukan yang sentiasa menjadi pasukan favourite, atau Pejabat Pembangunan? Ataupun pasukan underdog seperti Toon FC atau Al Hilal FT?

Kita tunggu.

Artikel disediakan oleh Zulkarnaen Ali, Pengarah UNIMAS Corporate.