December 22, 2024

Kota Samarahan, 29 Ogos 2023: Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) buat pertama kalinya mengadakan Hari Terbuka APEL UNIMAS 2023 di The Gallery, Dewan Tunku Abdul Rahman Putra (DeTAR PUTRA) pada hari ini.

Hari Terbuka APEL UNIMAS 2023 ini dirasmikan oleh Naib Canselor UNIMAS, Profesor Datuk Dr Mohamad Kadim bin Suaidi. Hari Terbuka ini turut dihadiri oleh lebih kurang 200 jemputan daripada pelbagai agensi kerajaan, bukan kerajaan dan juga individu perseorangan yang mempunyai minat tentang APEL.

APEL adalah Pengakreditan Pembelajaran berasaskan Pengalaman Terdahulu. Ia merupakan satu proses sistematik yang melibatkan proses identifikasi, dokumentasi dan penilaian pembelajaran berasaskan pengalaman terdahulu, termasuk pengalaman bekerja. Setelah APEL dilancarkan oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) pada April 2012, ramai pelajar dewasa telah mengambil peluang ini untuk menggunakan pengalaman kerja mereka untuk menyambung pengajian di Institut Pengajian Tinggi (IPT).

Kelebihan APEL antaranya adalah dapat mengiktiraf pembelajaran dan pengalaman terdahulu pelajar dewasa sama ada yang diperolehi secara formal, informal dan non-formal. Ini dapat mengurangkan pembelajaran berulang kepada pelajar dewasa, menjimatkan kos dan masa untuk menamatkan pengajian, terutamanya bagi yang sibuk dan mempunyai kekangan masa kerana komitmen kerja dan keluarga.

UNIMAS telah menawarkan APEL.C (APEL-pindah kredit) bermula 30 April 2020 dan dengan rasminya menjadi Pusat Penilaian APEL (PPA) Terbuka bagi APEL.A (APEL-akses) pada 28 September 2022. Setakat ini, jumlah calon dan pelajar dewasa memilih APEL dilihat meningkat dari semasa ke semasa apabila menyedari peluang menggunakan pengalaman mereka dalam melanjutkan pelajaran di IPT.

Melalui APEL, stigma ‘belajar hanya untuk orang muda’ tidak lagi relevan dan dijadikan alasan untuk tidak mahu terlibat dalam aktiviti pembudayaan ilmu dan melestarikan pembelajaran sepanjang hayat. Kesedaran pelajar dewasa dalam meningkatkan ilmu pengetahuan, kemahiran dan kompetensi telah dapat membantu pembinaan sikap, tingkah laku dan nilai yang positif dalam masyarakat umum dan di tempat kerja.

Hari Terbuka APEL UNIMAS 2023 ini juga adalah terbuka untuk semua staf UNIMAS dan komuniti setempat. Wakil-wakil daripada setiap fakulti di UNIMAS turut sama terlibat dengan booth pameran masing-masing dalam usaha mempromosikan program-program akademik yang ditawarkan di UNIMAS bagi membuka peluang kepada calon pelajar dewasa menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi sama ada di peringkat Ijazah Sarjana Muda, Ijazah Sarjana (Master), dan Ijazah Kedoktoran (PhD).

Disediakan oleh: Pusat Pembangunan dan Pengurusan Akademik (PPA) UNIMAS

Dimurnikan oleh: Dyg Nurlisa bt Abg Zainal Abidin, Copywriter UNIMAS Corporate