December 22, 2024

KOTA SAMARAHAN, 22 Ogos 2023: 5 orang pelajar daripada Program Drama dan Teater Fakulti Seni Gunaan dan Kreatif (FSGK) UNIMAS telah berjaya merangkul kemenangan sempena Pertandingan Pesta Teater Runcit 3.0 anjuran Akademi Seni dan Warisan Negara (ASWARA).

Pertandingan tersebut telah berlangsung di Panggung Eksperimen ASWARA, Kuala Lumpur turut disertai oleh beberapa kumpulan Teater daripada universiti awam yang lain serta penggiat teater . Pasukan pelajar dari Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) diwakili oleh Muhd RaihanSyah Bin Satri, Mohd Alfidzi Juma’at, Jalwaannizammi Bin Abdullah, Nur Liyana Binti Mat Dan dan Muhammad Abbas Bin Abdullah di bawah bimbingan pensyarah FSGK, Encik Muhammad Azri Ali dan Encik Muhammad Qawiem Hamizan.

Karya Hey Hai yang ditulis oleh pelajar Muhd RaihanSyah Bin Satri yang berkisar tentang implikasi kehadiran teknologi kecedarsan kepada manusia  telah berjaya menambat hati juri untuk dinobatkan sebagai juara keseluruhan. Selain dinobatkan sebagai juara, Muhd RaihanSyah Bin Satri turut merangkul anugerah pelakon lelaki terbaik secara keseluruhannya. Kumpulan ini turut membawa pulang wang tunai sebanyak RM2000.00 dan menerima jemputan untuk membuat persembahan di Langkawi Writer’s Festival 2023 akan datang.

Pertandingan sebegini diharapkan dapat mencungkil bakat-bakat baharu anak-anak muda dalam dunia Teater dan Drama seiring dengan perkembangan dunia perfileman yang semakin rancak pada ketika ini. Selain itu, pertandingan ini juga dapat dijadikan platform kepada bakat baharu untuk mencari peluang kerjaya dan perkongsian idea dalam mengetengahkan bakat sedia ada.

Disediakan oleh: Lee ak Linggie (75373), Pelajar Latihan Industri, UNIMAS Corporate