June 21, 2024

Selaras dengan keperluan untuk meningkatkan kapasiti internet yang optimum kepada pelajar serta meningkatkan keupayaan organisasi, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) telah mengorak langkah untuk menyediakan liputan Wi-fi secara menyeluruh di dalam kampus. Bagi mencapai hasrat ke arah sebuah kampus pintar (Smart Campus), Unimas terus komited bagi memastikan keperluan infrastruktur dan kemudahan ICT di dalam kampus adalah sentiasa pada tahap mencukupi. Sehingga kini, liputan Wi-fi dalam Unimas adalah pada tahap 87.11% iaitu bersamaan dengan 1581 unit capaian wireless access point yang disediakan di seluruh kawasan kampus.

Menurut Timbalan Naib Canselor Unimas (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dr. Wan Hashim Wan Ibrahim; hasrat Unimas menuju ke arah kampus digital adalah berpandukan kepada Pelan Strategik ICT Unimas 2021-2025. Sehingga kini, Unimas telah menyediakan liputan Wi-fi melebihi 80% dari keseluruhan kawasan kampus. UNIMAS berhasrat untuk mencapai 100% liputan Wi-fi di seluruh kampus melalui penambahan wireless access point yang akan dipasang di kawasan-kawasan strategik  yang telah dikenal pasti.

Walau bagaimanapun, masih terdapat beberapa kawasan yang dikenal pasti sebagai kawasan terlindung yang belum mendapat perkhidmatan Wi-fi secara menyeluruh. Oleh itu, sebanyak 234 unit capaian wireless access point akan dipasang di kawasan-kawasan yang terlindung bagi memastikan setiap pelajar di kampus akan menikmati capaian Internet yang pantas bagi tujuan pembelajaran, kemudahan carian maklumat dan menyiapkan tugasan dan kemudahan berinteraksi dengan para pensyarah. Penambahbaikan infrastruktur ICT yang mantap, selamat dan lestari ini merupakan alternatif UNIMAS terhadap keluhan pelajar mengenai gangguan Wi-fi di dalam kampus.

Penyediaan liputan Internet secara meluas di kampus sejajar dengan Pelan Strategik ICT UNIMAS 2021-2025 ke arah Kampus Digital. Antara objektif utama dalam Pelan Strategik ICT UNIMAS ialah meningkatkan kebolehcapaian perkhidmatan digital melalui infrastruktur dan infostruktur ICT yang komprehensif dan selamat.

Unimas mempunyai kapasiti Internet jalur lebar sebanyak 8 Gbps yang memberikan kemudahan Wi-fi secara menyeluruh kepada warga kampus. Perkhidmatan Internet jalur lebar ini adalah melalui inisiatif MYREN yang dibiayai oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT). Pihak KPT juga dalam usaha untuk menambah kapasiti MYREN kepada 10 Gbps bagi semua universiti awam pada masa hadapan.

Sememangnya, inisiatif proaktif ini sangat bersesuaian dengan dasar Smart Campus UNIMAS dalam memastikan keseluruhan kampus mendapat kualiti perkhidmatan Wi-fi yang tinggi serta menyokong aplikasi-aplikasi baru yang sedang dan akan dibangunkan oleh Unimas. Kebolehcapaian perkhidmatan digital yang komprehensif dan selamat dapat memperkasakan sistem tadbir urus universiti serta menyediakan ekosistem digital yang berkualiti dan dinamik untuk pengajaran dan pembelajaran, penyelidikan dan inovasi ke arah memantapkan inisiatif Unimas sebagai universiti yang dipacu oleh komuniti ke arah kelestarian sejagat.

Oleh: Dayang Nurlisa binti Abang Zainal Abidin

UNIMAS CORPORATE

15 Ogos 2022

image_printPrint Article/Press Release